Thursday, May 20, 2010

selamat berjuang dan selamat berjaya!!!

Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Begitulah lumrah hidup kita di dunia ini. Semuanya bersifat sementara, tiada yang kekal abadi tanpa izinNYA. Subhanallah, uniknya setiap kejadian di dunia ini. Perjalanan hidup ini penuh dengan pancaroba, onak dan duri...

Mengimbau kembali fosil-fosil kehidupan sepanjang belajar di bumi Darul Quran, ternyata, sungguh indah jalan yang ditempuhi meskipun dihiasi dengan cabaran dan dugaan. Bila direnungkan semula, ana tak mampu nak menghadapinya tanpa izin Allah melalui sahabat-sahabat dan pensyarah yang sentiasa menyokong dan memberi semangat..

...pagi terakhir yang memeritkan...

18 mei 2010

Selepas solat subuh pada hari itu, kelihatan gelagat seorang insan sedang duduk di tepi tasik menanti terbitnya sang mentari buat kali terakhir. Sambil menunggu, mulutnya terkumat-kamit berusaha mengingati surah an-nur. Sementara itu sang cengkerik bercengkerama antara satu sama lain dengan gemersik alunan bunyinya yang merdu. Subhanallah! tenangnya suasana itu. Namun, dalam suasana yang tenteram itu tiba-tiba bergenang air mata pemuda itu membasahi pipinya bila membaca ayat 24 surah tersebut yang bermaksud...

"Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memujiNya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan."

"Ya Allah, alangkah hinanya diriku ini, aku selalu alpa akan nikmat yang Engkau beri, pastinya makhluk di sekitarku ini sedang berzikir mengingatiMU. Engkau ampunkanlah dosaku ya Ilahi Rabbi..." bisik hati kecil insan itu.

Air matanya jatuh mencecah bumi yang sedang bertasbih itu. Tidak henti mulutnya mengucapkan istighfar.

"Ya Allah, hari ini adalah hari yang terakhir aku bermukim di sini. Alhamdulillah, aku sangat bersyukur dapat bertemu sahabat-sahabat di sini. Janganlah Engkau sakiti mereka ya Allah kerana sesungguhnya aku mencintai mereka keranaMU. Pertemuan dan perpisahan kami adalah keranaMu. Oleh itu, Engkau redhailah hubungan antara kami..." sekali lagi hati kecil itu berbisik. Air matanya jatuh bercucuran membasahi bumi. Lantas doa rabithah dibacakan...


"Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu
Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu
Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu
Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin.."

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."
al-hujurat : ayat 10

"syukran sahabat semua..entum memang terbaik!! minta maaf atas segala yang terkurang dan terlebih sepanjang kita berukhuwah, thanks for everything!! tidak mampu ana membalas jasa entum sekalian, jangan ucap selamat tinggal/selamat jalan tapi...ucapkanlah...

selamat berjuang dan selamat berjaya!!!

...ALLAHU YUBARIKU FIIKUM...

..bingkisan hati insan di tepi tasik DQ..

..di sinilah bermulanya perjuangan kita..

..dan ianya takkan berakhir sehingga kita menghembuskan nafas yang terakhir..

ALLAHU AKHBAR!!

:: followers ::