Monday, July 25, 2011

:: Ramadhan Bulan Mustajab ::


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ يَرْفَعُهَا اللَّهُ دُونَ الْغَمَامِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَتُفْتَحُ لَهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَيَقُولُ بِعِزَّتِي لَأَنْصُرَنَّكِ وَلَوْ بَعْدَ حِينٍ

Daripada Abu Hurayrah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiga orang yang doa mereka tidak ditolak, pemerintah yang adil, orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka dan doa orang yang dizalimi. Allah s.w.t. mengangkatnya di atas awan-awan pada hari Kiamat dan dibukakan untuknya pintu-pintu langit dan Dia berfirman: “Demi kemuliaan-Ku pasti Aku akan memberi pertolongan walaupun selepas seketika.” (Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Khuzaymah, Ibn Majah)

عن عَبْدِ الله بْنِ عَمْروٍ  يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka satu doa yang tidak ditolak. (Ibn Majah, al-Hakim)

قَالَ ابْنُ أَبِي مُلَيْكَةَ سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو يَقُولُ إِذَا أَفْطَرَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي

Ibn Abi Mulaykah berkata: “Saya mendengar ‘Abdullah bin ‘Amr mengucapkan ketika berbuka, ya Allah, aku memohon dengan rahmat-Mu yang maha luas meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkanku.”

Hendaklah orang yang berpuasa merebutkan peluang sebelum berbuka dengan memperbanyak doa dan zikir kepada Allah s.w.t. dengan hati yang hadir dan khushu’ kepada-Nya. Walau bagaimanapun, tidak dikhususkan dengan doa yang tertentu, setiap orang boleh berdoa dengan mana-mana doa yang dihajatinya.

Sebab doa sangat diperkenankan pada bulan ini ialah kerana berhimpunnya pelbagai keberkatan dan rahmat dari Allah s.w.t. Selain itu, jiwa dan hati orang mu`min lebih suci dan khushu` lantaran penguasaan hawa nafsu menjadi lemah kerana kesan puasa. Dengan berpuasa seseorang itu dapat meninggalkan keinginan nafsunya dan hatinya menjadi bersih. Apabila dia berdoa dengan hatinya yang kosong kegelapan shahwat maka ia lebih khushu’ dan ia dipanjatkan dengan penuh pengharapan kepada Allah s.w.t. Sama ada segera dimakbulkan, disimpan di Akhirat atau dijauhkan musibah daripadanya.

عن أبي سعيد الخدري قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم إن لله عتقاء من النار في كل يوم وليلة ولكل مسلم في كل يوم وليلة دعوة مستجابة

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya setiap hari dan malam Allah melepaskan orang-orang dari ikatan (api neraka) dan bagi setiap orang Islam pada setiap hari dan malam doa yang diperkenankan.” (al-Tabarani, al-Mu’jam al-Awsat dan al-Bazzar)

Maksud pada setiap hari dan malam ialah pada bulan Ramadan.

عن عبادة بن الصامت أن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال يوما وحضر رمضان أتاكم رمضان شهر بركة فيه خير يغشيكم الله فيه فتنزل الرحمة وتحط الخطايا ويستجاب فيه الدعاء فينظر الله إلى تنافسكم ويباهي بكم ملائكته فأروا الله من أنفسكم خيرا فإن الشقي من حرم فيه رحمة الله عز و جل

Daripada ‘Ubadah bin al-Samit bahawa pada ketika datangnya Ramadan, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Telah datang kepada kamu Ramadan, bulan keberkatan, padanya Allah s.w.t. melitupi kamu dengan kebaikan lalu diturunkan rahmat, dihapuskan dosa-dosa dan diperkenankan doa-doa, maka Allah s.w.t. memerhatikan kepada perlumbaan kamu dan berbangga dengan kamu di hadapan malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah kebaikan dari diri kamu (yang kamu kerjakan) kerana sesungguhnya orang yang malang ialah orang yang terhalang dari rahmat Allah s.w.t. pada bulan Ramadan.” (al-Tabarani dalam Musnad al-Shamiyyin)

Oleh sebab itulah, Allah s.w.t. menyebutkan ayat ini bersama hukum puasa.

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. (Surah al-Baqarah: 186)

Ketika mentafsirkan ayat ini, Imam al-Baydawi menulis: “Ketahuilah bahawa setelah Allah s.w.t. memerintahkan orang-orang beriman supaya berpuasa Ramadan dan menjaga hari-harinya serta mengalakkan mereka melaksanakan tugas-tugas membesarkan Allah dan mensyukurinya, maka Allah s.w.t. mengemukakan ayat ini selepasnya yang menunjukkan bahawa Dia maha mengetahui keadan mereka, maha mendengar ucapan mereka, amat memakbulkan doa-doa mereka dan memberi balasan untuk amalan mereka sebagai penegasan dan dorongan.”

Difahami juga daripada ayat ini bahawa apabila seseorang yang beriman itu mahu supaya diperkenankan segala doanya maka hendaklah dia menyahut seruan Allah s.w.t. dengan beriman dengan sepenuh hati dan melaksanakan segala perintah-Nya.

Dalam hadis lain, terdapat juga perintah supaya beristighfar, memohon syurga dan dijauhkan dari api neraka.

و استكثروا فيه من أربع خصال : خصلتين ترضون بهما ربكم و خصلتين لا غنى بكم عنهما فأما الخصلتان اللتان ترضون بهما ربكم فشهادة أن لا إله إلا الله و تستغفرونه و أما اللتان لا غنى بكم عنهما فتسألون الله الجنة و تعوذون به من النار

Hendaklah memperbanyak empat perkara, dua yang menyebabkan Allah reda kepada kamu dan dua yang kamu sangat memerlukannya. Adapun dua yang menyebabkan Allah reda kepada ialah shahadah bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan kamu memohon ampun dari-Nya. Adapun dua perkara yang kamu sangat memerlukannya ialah kamu meminta syuga dari-Nya dan kamu memohon perlindungan dari api neraka. (Ibn Khuzaymah)

Waktu yang paling baik untuk beristighfar ialah semasa bersahur dan sebab itu sahur itu mempunyai banyak keberkatan. Antaranya ialah waktu orang-orang soleh berdoa memohon ampun dari Allah s.w.t.

الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا إِنَّنَا آَمَنَّا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (16) الصَّابِرِينَ وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِينَ وَالْمُنْفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالْأَسْحَارِ (17)

(16.) (Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka";  (17.) (dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang Yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur. (Surah Aal ‘Imran: 16-17)

كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ (17) وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ (18)

(17.) Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. (18) Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). (Surah al-Zariyat: 17-18)



Disediakan oleh Muhammad Hanief Awang Yahaya untuk  www.darulkautsar.net

artikel asal : http://www.darulkautsar.net/article.php?ArticleID=3122

:: followers ::