Saturday, October 23, 2010

…terima kasih…


Tatkala hari silih berganti,

Minggu berganti bulan,

Bulan berganti tahun,

Peristiwa yang berlaku pada 23 Oktober bersamaan 15 Rabiulakhir 19 tahun lalu menghangat kembali. Pada hari Rabu, pukul 8.36 a.m, disampaikan berita gembira buat insan bernama Talawi bin Saat bersama isterinya yang tercinta, Dg. Jamilah binti Abdul Jalil. 9 bulan si isteri menanggung derita penat lelah mengandungkan anaknya, namun begitu, segala keperitan, kepayahan dan kesakitan hilang sejurus selepas mendengarkan tangisan anaknya yang baru sahaja dilahirkan. Alangkah gembiranya hati mereka. Ingin diluahkan perasaan mereka dengan kata-kata namun perasaan itu hanya dapat diluahkan dengan genangan air mata kegembiraan dan kesyukuran. Lahirnya seorang bayi lelaki yang menambahkan lagi seri rumah tangga pasangan suami isteri itu. Segera diazankan bayi itu, kemudian diberi nama. Tahukah kalian, apakah nama yang diberi itu? Mohd Nuralim, ya, itulah namanya dan itulah juga hamba. Alangkah gembiranya hamba andai dapat melihat raut wajah abah dan mak ketika itu. Meskipun tidak dapat menatap wajah gembira mereka namun, itulah peristiwa paling manis sepanjang hayat hamba kerana bagi hamba kegembiraan mak dan abah hamba adalah kegembiraan hamba sendiri.

Hari ini genap hamba mencapai usia 19 tahun. 19 tahun dahulu cukup berbeza dengan hari ini. Apabila hamba merenung raut wajah mereka yang sesekali menyimpul senyuman itu, kesedihan dan kegembiraan bercampur aduk menyelinap masuk ke segenap penjuru ruang fikiran hamba. Gembira kerana hamba masih diberi peluang melihat wajah mereka dan sedih kerana banyaknya dosa-dosa hamba pada mereka serta banyak lagi. Melihat wajah mereka membuatkan hamba lebih tekun berusaha, meskipun hamba tahu hamba tidak akan mampu membalas jasa mereka namun mudah-mudahan dengan sejengkal usaha itu membuat mereka tersenyum gembira.

Mak, Abah,

Maafkan anakmu ini kerna tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya,

Maafkan anakmu kerna tidak selalu berada di sampingmu,

Maafkan anakmu kerna selalu menyakitimu.

Ampunkanlah segala dosa anakmu ini,

Tanpamu tiadalah anakmu di dunia ini.

"Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Pengasih,anak yang derhaka ini memohon agar Engkau kasihi ibubapaku sebagaimana mereka mengasihiku dahulu, Engkau Yang Maha Penerima Taubat, Engkau ampunkanlah dosa-dosa mereka kerna tanpa izinMu tidaklah aku dilahirkan di dunia ini. Ya Allah, hambamu yang hina ini menagih simpati agar Engkau ampuni dosa-dosa mereka. Ya Allah, sehingga hari ini, sudah 19 tahun hamba diberi peluang untuk menyediakan bekalan menghadapi hari selepas mati. Namun yang pastinya, bukan 19 tahun itu hamba penuhi dengan ibadah kepadaMu. Alangkah hinanya hambaMu ini sehingga tidak mampu memanfaatkan peluang yang telah diberikan olehMu. Ya Allah, hambaMu ini tahu hamba tidak layak memohon daripadaMu. Hamba sedar, tangan yang sedang menadah doa ini penuh dengan debu-debu dosa. Mulut yang sedang bercakap ini penuh dengan kebohongan, mata yang sedang mengalirkan airmata ini penuh dengan zina pandangan, hidung ini selalu menghidu bau-bau maksiat, telinga ini selalu mendengar perkara yang melalaikan, kaki ini selalu melangkah ke tempat-tempat maksiat. Oleh itu, ampunilah hambaMu ini ya Allah. Tiada tempat lain untuk hamba mengadu melainkan kepadaMu wahai Yang Maha Esa…"

Akhir sekali, mak, abah, anakmu ini amat berterima kasih kepadamu dan juga kepada Allah kerana memberi peluang kepada anakmu ini untuk mengenal Allah.

Ibu, senyum dan tangismu,

Berbunga harapan,

Ayah, renungan matamu,

Bertunas impian,

Ibu dan ayah,

Titis kasihmu meresap di hati,

Pengorbananmu tiada bertepi,

Kasihmu suci bersih,

Baktimu tanpa menuntut balasan,

Kami sedar degup jantung ini,

Adalah titisan air susumu,

Yang telah bertukar merah,

Jasamu terlalu besar,

Budimu terlalu ikhlas,

Tanpamu kami tiada di sini,

Panjatkanlah doamu,

Jadikan kami anak soleh,

Cukup ilmu, kenal Allah,

Kenal ibu dan ayah,

Jasa baktimu tetap dikenang.

(ibu dan ayah,lagu motivasi SMKA Inanam)

2 comments:

  1. lim, selamat hari lahir ye... maafkan salah silap sepanjang perkenalan kita, semoga ukhwah berkekalan...he


    semoga segala yg diinpikan tercapai...

    semoga kejayaan didunia dan akhirat menjadi milik mu..

    amiin...

    +iman+amal+takwa

    ReplyDelete
  2. amiin..
    syukran zam,
    moga thabat dalam perjuangan,
    Allahu yubaariku fiik..

    ReplyDelete

:: my fb ::

:: followers ::