Wednesday, June 2, 2010

..teruskan memboikot..


Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita serangan Israel terhadap misi kemanusiaan khas untuk rakyat Palestin dan Gaza atau dengan lebih mudahnya kita katakan ia adalah misi kemanusiaan untuk membantu saudara seagama kita iaitu Islam. Terpampang kekejaman Israel bukan sahaja di dada-dada akhbar malah di kebanyakan laman web. Moga usaha mereka diterima oleh Allah Yang Maha Esa.
Saya ingin mengulas sedikit petikan dalam akhbar Berita Harian (klik untuk pautan) hari ini..
Ditanya sama ada wajar Malaysia memboikot produk Israel dan Amerika Syarikat, Najib berkata, tindakan itu tidak akan memberi kesan kerana tidak ada tindak balas daripada negara berkenaan, tetapi Malaysia akan memikirkan apa yang wajar dilakukan menerusi sidang Majlis Keselamatan PBB.
“Kita tak ada produk Israel di sini, jadi kita tidak ada hubungan langsung dengan Israel, oleh itu tidak ada apa-apa kesan,” katanya.-dipetik dari akhbar Berita Harian
Saya tersentuh sedikit tentang apa yang dikatakan oleh beliau. Mungkin benar kita tiada produk Israel di sini (di negara kita) tapi saya yakin di sini banyak produk dan syarikat-syarikat perniagaan yang menyumbang kepada mereka sama ada ekonomi mahupun sumber ketenteraan itu sendiri. Kalaulah semua orang berpendapat bahawa usaha memboikot itu tidak akan membawa apa-apa kesan, pasti tidak akan memberi kesan sebab kita belum berusaha sedangkan Allah akan memandang dan menilai usaha seseorang sebelum memberikan hambaNya ganjaran. Apa usaha kita jika terus berkata sedemikian tanpa berusaha, firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud..
"...kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad (berazam), maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakkal"
'membulatkan tekad (berazam)' berdasarkan ayat ini tekad yang dimaksudkan adalah tekad yang disertai dengan usaha. Ianya sama jika kita ingin berjaya, kita perlu berusaha. Setelah usaha, barulah kita menyerahkan selebihnya kepada Allah. Jika positif hasil yang kita terima, maka ia adalah anugerah dariNya. Namun jika negatif impak yang kita terima, maka kita patu merujuk semula setiap langkah dalam usaha kita lakukan bermula dengan niat. Renungkan hadis ini..

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis; Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih (Al-Imam al-Bukhari meriwayatkannya pada bahagian awal kitab sahihnya, juga dalam Kitab Iman dan beberapa tempat lain dalam kitab sahihnya. Al-Imam Muslim meriwayatkannya dalam Kitab al-Imarah Bab : إنما الأعمال بالنية)

Apa-apa pun, pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap perkara yang menimpa. Saya tertarik dengan satu mesej yang saya terima dari saudara seusrah suatu pagi dahulu..

"Sesungguhnya malaikat Jibril itu diutuskan untuk menyempurnakan hajat manusia. Apabila seseorang kafir itu memohon, Allah memerintahkan Jibril agar menunaikan hajatnya dengan segera kerana Allah membenci mendengar kata-katanya. Dan apabila seorang hamba muslim, yang dikasihi memohon, Allah memerintahkan Jibril agar menahan, menangguhkan dan jangan disempurnakan dengan cepat hajatnya kerana Allah amat rindu mendengar suara hambanya yang beriman"

Secara tuntasnya, ingin saya simpulkan di sini bahawa usaha memboikot Israel dan produk-produk yang menyumbang kepadanya mesti diteruskan walau dengan apa cara sekalipun. Cukup sekadar itu dahulu..







“Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir” (surah al-baqarah : ayat 250)

Mohon kemaafan andai artikel ini menyebabkan mana-mana pihak berasa kurang senang.
Wallahu a'lam..

Tuesday, June 1, 2010

..jalan keluar..

"Assalamualaikum. Maaf lah kalau ana mengganggu"

"Waalaikumussalam. Eh, tak mengganggu pun. Kenapa? Nampak macam gelisah sedikit dari selalu"

"Hmm..macam ni, ana pening sedikit memikirkan sesuatu" Nafasnya ditarik dalam dan kemudian dia mendengus menenangkan dirinya yang buntu.

"Kalau tak kisah, kongsilah masalah enta dengan ana. InsyaAllah, ana bantu selagi mampu"

"Sebenarnya begini, macam yang enta tahu ana masih baru dalam kerja-kerja dakwah ni. Mak ayah ana kurang setuju bila tahu ana join usrah atau yang berkaitan dengannya. Lagipun, mak ayah ana bukan jenis yang suka benda-benda macam ni. Jadi ana nak minta pendapat enta, apa yang harus ana buat untuk datang usrah sebab ana mulai suka dan tertarik untuk bergerak kerja dengan semua sahabat yang ada sekarang"

"Hmm, macam ni lah. Seperti yang enta tahu, masa mula-mula Islam itu datang pada zaman Rasulullah s.a.w dahulu, baginda telah menyebarkan Islam secara rahsia di rumah Abu Abdillah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam. Ramai ulama bersetuju bahawa usrah telah bermula daripada peristiwa ini. Apa yang ana nak tekankan di sini bukan sahaja usrah itu sendiri malah peringkat dakwah Rasulullah s.a.w. Enta juga tahu Islam itu disebarkan secara berperingkat iaitu secara sulit dan secara terang-terangan. Oleh yang demikian, enta juga perlu sampaikan dan beri kefahaman pada keluarga enta secara berperingkat. Tidak perlu tergesa-gesa sebab yang penting bagi mereka faham dahulu. Lagipun mereka adalah usrah enta yang sebenar-benarnya. Lagi satu, patuhlah dengan mak ayah melainkan enta disuruh buat perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah tapi kalau membantah, bantahlah dengan baik sebab Allah telah berfirman dalam surah al-isra’ ayat 23 yang bermaksud..

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

Manakala dalam surah an-nahl, ayat 125 pula Allah berfirman yang bermaksud..

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Oh ya, kebetulan hari ini ana ada bawa buku ‘Dakwah Fardiah’. Enta baca buku ni, insyaAllah akan ada jalan keluar untuk masalah yang enta fikirkan sekarang”

“Syukran akh, moga Allah memberkati enta dan sahabat-sahabat sekalian”

***

*Dakwah Fardiah – scribd.com, 4shared.com (klik web untuk download)

Thursday, May 20, 2010

selamat berjuang dan selamat berjaya!!!

Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Begitulah lumrah hidup kita di dunia ini. Semuanya bersifat sementara, tiada yang kekal abadi tanpa izinNYA. Subhanallah, uniknya setiap kejadian di dunia ini. Perjalanan hidup ini penuh dengan pancaroba, onak dan duri...

Mengimbau kembali fosil-fosil kehidupan sepanjang belajar di bumi Darul Quran, ternyata, sungguh indah jalan yang ditempuhi meskipun dihiasi dengan cabaran dan dugaan. Bila direnungkan semula, ana tak mampu nak menghadapinya tanpa izin Allah melalui sahabat-sahabat dan pensyarah yang sentiasa menyokong dan memberi semangat..

...pagi terakhir yang memeritkan...

18 mei 2010

Selepas solat subuh pada hari itu, kelihatan gelagat seorang insan sedang duduk di tepi tasik menanti terbitnya sang mentari buat kali terakhir. Sambil menunggu, mulutnya terkumat-kamit berusaha mengingati surah an-nur. Sementara itu sang cengkerik bercengkerama antara satu sama lain dengan gemersik alunan bunyinya yang merdu. Subhanallah! tenangnya suasana itu. Namun, dalam suasana yang tenteram itu tiba-tiba bergenang air mata pemuda itu membasahi pipinya bila membaca ayat 24 surah tersebut yang bermaksud...

"Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memujiNya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan."

"Ya Allah, alangkah hinanya diriku ini, aku selalu alpa akan nikmat yang Engkau beri, pastinya makhluk di sekitarku ini sedang berzikir mengingatiMU. Engkau ampunkanlah dosaku ya Ilahi Rabbi..." bisik hati kecil insan itu.

Air matanya jatuh mencecah bumi yang sedang bertasbih itu. Tidak henti mulutnya mengucapkan istighfar.

"Ya Allah, hari ini adalah hari yang terakhir aku bermukim di sini. Alhamdulillah, aku sangat bersyukur dapat bertemu sahabat-sahabat di sini. Janganlah Engkau sakiti mereka ya Allah kerana sesungguhnya aku mencintai mereka keranaMU. Pertemuan dan perpisahan kami adalah keranaMu. Oleh itu, Engkau redhailah hubungan antara kami..." sekali lagi hati kecil itu berbisik. Air matanya jatuh bercucuran membasahi bumi. Lantas doa rabithah dibacakan...


"Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu
Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu
Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu
Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin.."

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."
al-hujurat : ayat 10

"syukran sahabat semua..entum memang terbaik!! minta maaf atas segala yang terkurang dan terlebih sepanjang kita berukhuwah, thanks for everything!! tidak mampu ana membalas jasa entum sekalian, jangan ucap selamat tinggal/selamat jalan tapi...ucapkanlah...

selamat berjuang dan selamat berjaya!!!

...ALLAHU YUBARIKU FIIKUM...

..bingkisan hati insan di tepi tasik DQ..

..di sinilah bermulanya perjuangan kita..

..dan ianya takkan berakhir sehingga kita menghembuskan nafas yang terakhir..

ALLAHU AKHBAR!!

:: my fb ::

:: followers ::